Friday, November 5, 2010

5 Cara Jauhi Maksiat

Ibrahim Adham berwasiat : “Jika kamu mahu menerima 5 perkara serta mampu melaksanakannya nescaya kemaksiatan tidak akan mampu menyerang dirimu dan kamu tidak mudah untuk dihancurkan oleh kelazatan duniawi iaitu : 

1. Apabila kamu hendak melakukan penderhakaan kepada Allah Yang Maha Tinggi dan Maha Mulia maka janganlah kamu memakan rezekiNya

2. Apabila kamu hendak berlaku derhaka kepadaNya maka jangan sampai kamu memijak bumiNya

3. Jika kamu hendak melakukan sesuatu kemaksiatan sedangkan kamu masih berada dalam rezeki dan wilayahNya maka sekarang cuba carilah suatu tempat yang mustahil diketahui olehNya di mana tempat itu kamu dapat bebas berbuat maksiat
4. Apabila malaikat pencabut nyawa datang hendak mengambil nyawamu maka cuba mintalah kepadanya agar diberi tempoh hingga dapat bertaubat dengan taubat yang sesungguhnya serta beramal soleh kerana Allah

5. Jika pada hari kiamat nanti ketika malaikat Zabaniyah penjaga neraka datang kepadamu untuk membawamu ke neraka maka usahakan untuk menolaknya


JAUHI MAKSIAT DAN MUHASABAH DIRI.

Menurut kamus dewan, muhasabah memberi maksud perbuatan menilai, meninjau perasaan (fikiran, pendirian dsb) ke atas diri sendiri.

            Pepatah  Melayu ada mengatakan bahawa bumi mana tidak di timpa hujan dan laut mana yang tidak bergelora. Sayidina Umar pernah membunuh anak perempuannya dan akhlaknya sebelum menganut Islam adalah begitu rosak sekali. Tetapi biarlah kita menjadi umat yang disukai Allah iaitu orang yang hari ini lebih baik dari semalam dan hari esoknya lebih baik dari hari ini.

Selalulah muhasabah diri tidak perlu menunggu musibah untuk muhasabah diri.
Inilah antara sebab utama orang susah untuk menjadi baik. Apa sebabnya?? Kalau kita tengok kes mahkamah, bapa merogol anak pun minta dibicarakan, kerana mereka menganggap mereka tidak bersalah. Pemuda merogol kanak-kanak pun tak nak mengaku salah kerana memandang perbuatan mereka adalah wajar. Samalah juga tuan-tuan, perempuan yang tidak memakai tudung memandang perbuatan mereka sebagai wajar dan mereka ini memandang perempuan bertudung sebagai kuno dan kolot. Orang merokok memandang dirinya “macho” dan segak dan memandang orang tidak merokok sebagai bukan lelaki sejati.

Apakah sebab berlaku fenomena ini di mana manusia memandang perbuatan mereka yang sebenarnya salah tetapi pada pandangan mereka perbuatan mereka adalah betul, elok dan baik. Dalam setengah kes pula puak ini semakin ramai dan memandang orang yang mengamalkan poligami dan hudud adalah orang yang kuno, kolot dan ketinggalan zaman. Mereka memandang diri mereka pula sebagai contoh terbaik untuk diikuti.

Jawapan persoalan ini diterangkan Allah dalam 10 ayat di dalam Al Quran  yang sama maknanya iaitu Al An’aam 43:
“dan Syaitan pula memperelokkan pada (pandangan) mereka apa yang mereka telah lakukan.”

dan At Taubah 37:
”.......... Perbuatan buruk mereka itu dihias dan dijadikan indah (oleh Syaitan) untuk dipandang baik oleh mereka. ......”..
Serta Al Anfaal ayat 48-

“Dan (ingatlah) ketika Syaitan memperhiaskan kepada mereka perbuatan mereka (yang salah itu, untuk dipandang elok dan diteruskan), .......”

At Taubah ayat 37-.
“.......... Perbuatan buruk mereka itu dihias dan dijadikan indah (oleh Syaitan) untuk dipandang baik oleh mereka. ........”

An Nahl ayat 63-
“.............. lalu Syaitan memperelokkan pada pandangan mereka yang ingkar akan amal-amal mereka yang jahat itu;.........”
Orang yang telah berkawan rapat dengan syaitan seperti diterangkan dalam surah Az Zukruf di atas lalu syaitan tadi telah menjadikan manusia ini memandang cantik perbuatan salah mereka, apabila ditegur – masyaAllah, kita yang menasihati akan dijadikan musuh.

Masalah utama yang inginkan saya tegaskan di sini ialah è MASALAH UTAMA BAGI ORANG BERMASALAH IALAH MEREKA TIDAK TAHU BAHAWA MEREKA SEDANG BERMASALAH.
Dr Yusuf Al Qardawi telah berkata:
“Kita boleh berterus terang dalam masalah ini  (kepincangan umat) dengan menegaskan bahawa kepincangan yang berlaku itu adalah berpunca dari dalam diri kita yang suka mementingkan diri sendiri dan meletakkan kesalahan di atas bahu orang lain, bagai pepatah; kuman di seberang laut nampak, gajah di bibir mata tidak nampak”
            Di dalam kita muhasabah diri, Syed Sabiq telah menyediakan satu senarai lengkap untuk menjadi senarai semak untuk kita semua membaiki diri iaitu :
  1. Lemah jiwa
  2. Mudah putus asa
  3. Putus harapan
  4. Angkuh
  5. Gembira tidak terbatas
  6. Ujub (Kagum dengan diri sendiri)
  7. Megah
  8. Zalim (aniaya)
  9. Girang
  10. Ingkar kepada kebenaran
  11. Tidak tahu berterima kasih (bersyukur)
  12. Tergesa-gesa
  13. Sempit dada (sempit fikiran)
  14. Kurang panjang akal
  15. Kikir (kedekut) untuk berbuat baik
  16. Bakhil pada harta
  17. Tamak haloba
  18. Suka membantah
  19. Suka menunjuk-nunjuk
  20. Bimbang kepada kebenaran
  21. Ragu-ragu kepada petunjuk
  22. Bodoh
  23. Lalai kepada kekurangan diri
  24. Suka berkeras sewaktu berbantah
  25. Tertipu dengan perasaan diri sendiri
  26. Berpura-pura
  27. Gelisah
  28. Keluh kesah
  29. Tidak suka menolong
  30. Lari dari kebenaran
  31. Menentang kekuasaan Tuhan
  32. Derhaka
  33. Melampaui batas
  34. Cinta harta
  35. Terpesona dengan keduniaan.
Marilah kita menginsafi diri bahawa keupayaan orang-orang kafir untuk menguasai kita dan kehinaan kita di tangan mereka pada setiap keadaan adalah merupakan bentuk seksa dari Allah kepada kita kerana kita tidak tahu menghargai nikmat Islam yang Allah berikan kepada kita. Berapa banyak hak Allah yang tidak kita tunaikan.
Insaflah bahawa siapa yang mempunyai sesuatu yang lebih disayangi dan dicintai daripada Allah, maka ini menandakan hatinya sedang sakit.

            Hanya dengan mengatakan aku pasti ........... tanpa mengucapkan Insya Allah sudah cukup berdosa dan menyebabkan musibah dari Allah seperti hadis  Nabi saw berikut :
Al Bayan: 951 - Diriwayatkan daripada Abu Hurairah r.a katanya: Nabi Sulaiman a.s memiliki seramai enam puluh orang isteri. Suatu ketika dia pernah berkata, malam ini aku pasti akan menggauli semua isteriku, sehingga kesemua daripada mereka akan mengandung dan melahirkan seorang anak lelaki yang hebat dalam menunggang kuda (tentera berkuda) untuk berjihad di jalan Allah. Ternyata mereka semua tidak mengandung kecuali seorang sahaja itupun hanya melahirkan anak yang cacat. Kemudian Rasulullah s.a.w bersabda: Sekiranya Nabi Sulaiman a.s mengecualikan (berkata Insya Allah) maka setiap daripada mereka akan melahirkan seorang anak lelaki yang hebat dalam menunggang kuda untuk berjihad di jalan Allah.

            Muhasabahlah diri dan bertaubatlah!!
Firman Allah dalam An Nisaak: 110.
Dan sesiapa yang melakukan kejahatan atau menganiaya dirinya sendiri (dengan melakukan maksiat) kemudian dia memohon ampun kepada Allah, nescaya dia akan mendapati Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.

            Juga dalam Yunus: 27.
Dan untuk orang-orang yang melakukan kejahatan (syirik dan maksiat), balasan tiap-tiap satu kejahatan mereka ialah kejahatan yang sebanding(setimpal) dengannya serta akan ditimpakan kehinaan; tiadalah bagi mereka pelindung dari (seksa) Allah; muka mereka (hitam legam) seolah-olahnya ditutup dengan beberapa bahagian (yang gelap-gelita) dari malam yang gelap-gelita. Mereka itulah ahli Neraka, mereka kekal di dalamnya.

            Allah menimpakan bala musibah yang sebanding atau setimpal dengan perbuatan jahat/ maksiat yang dilakukan oleh manusia.

Firman Allah lagi dalam An Nisaak: 79-
Apa jua kebaikan (nikmat kesenangan) yang engkau dapati maka ia adalah dari Allah dan apa jua bencana yang menimpamu maka ia adalah dari (kesalahan) dirimu sendiri dan Kami telah mengutus engkau (wahai Muhammad) kepada seluruh umat manusia sebagai seorang Rasul (yang membawa rahmat) dan cukuplah Allah menjadi saksi (yang membuktikan kebenaran hakikat ini).

Ghaafir: 75- (Lalu dikatakan kepada mereka setelah ditimpakan dengan azab seksa): Balasan buruk yang demikian ini disebabkan kamu dahulu bersukaria di muka bumi dengan cara yang salah (pada hukum Tuhan) dan disebabkan kamu bersenang lenang dan bermegah-megah dengan berleluasa.

Sesungguhnya Allah maha Pengampun sebagaimana dinyatakan Nabi dalam Al Bayan: 570 –
Diriwayatkan daripada Anas r.a katanya: Rasulullah s.a.w bersabda: Seandainya anak Adam mempunyai dua lembah harta tentu dia masih menginginkan yang ketiga. Padahal yang memenuhi perut anak Adam hanyalah tanah-tanah (kuburnya) dan Allah tetap menerima taubat orang yang ingin bertaubat

Al Bayan:1513 Diriwayatkan daripada Abdullah bin Mas'ud r.a katanya: Aku menemui Rasulullah s.a.w ketika baginda dalam keadaan tidak sihat. Aku menggosok baginda dengan tanganku. Aku katakan kepada baginda: Wahai Rasulullah! Sesungguhnya engkau benar-benar tidak sihat. Rasulullah s.a.w bersabda: Memanglah, apa yang aku alami sekarang ini adalah sama seperti yang di alami oleh dua orang di antara kamu. Aku berkata: Kalau begitu engkau beroleh dua pahala sekaligus. Rasulullah s.a.w bersabda: Benar. Kemudian Rasulullah s.a.w bersabda lagi: Setiap orang muslim yang ditimpa musibah atau sakit dan sebagainya, maka Allah akan mengampunkan kesalahan-kesalahan dari sakitnya, sebagaimana daun yang gugur dari pokoknya

            Sebagaimana yang diterangkan oleh Nabi Saw bahawa berjihad untuk melawan hawa nafsu adalah lebih besar berbanding dengan berjihad di dalam perang Badar. Manakan tidak kerana iblis tidak akan reda apabila ‘sahabatnya’ ini menjadi manusia yang lebih baik. Iblis akan memberikan perangsang agar ‘sahabatnya’ ini terus menjadi seperti dahulu iaitu bergelumang dengan dosa. Tidak cukup dengan  bisikan langsung ke dalam hati, iblis akan membisikkan pula kepada “kroninya” di kalangan manusia untuk menjadi agennya agar ‘sahabat’ iblis ini berputus asa untuk menjadi orang yang lebih baik. 


brought to you by : jom tutup aurat dan jaga akhlak (facebook)
                            http://www.tagged.com/jagaauratanda (tagged)






No comments: